setelah lebih dua bulan aku tak menjengahkan 'kepala' di dalam si Hitam Putih ini, akhirnya aku berjaya kembali semula untuk membuang segala sawang-sawang yang mulai melekat di sini.
dan bila dihitungkan dengan bilangan hari semenjak tulisan yang terakhir aku bersempena dengan hari raya Aidilfitri dan ulang tahun ke 21 tahun bagi diri aku yang lepas, aku sudah lama tidak menjenguk ke sini... aku juga telah melalui dimensi baru dalam kehidupan dan selepas ini, boleh dikatakan juga aku tiada masa untuk memikirkan apa yang terbaik untuk si Hitam Putih ini dek kerana komitmen yang terpaksa aku bahagikan demi kehidupan masa depan aku yang akan mendatang
sebenarnya, banyak yang aku ingin coretkan di sini dan saat ini ketika aku sedang memikirkan apa yang terbaik untuk kerja-kerja yang menimbun di saat aku belum lagi memulakannya, adalah lebih baik aku menulis di sini untuk mendapatkan lebih idea
sepanjang melalui ranjau di bulan September dan Oktober ini, berbagai-bagai situasi yang aku dah hadapi, dan antaranya ialah kisah yang paling memilukan bagi aku di mana sahabat karib aku di waktu persekolahan menengah dulu telah meninggalkan aku dan rakan-rakan buat selama-lamanya... pemergian dia pada usia muda dan di saat kami semua tiada di sisi amat mengejutkan kami semua kerana lebih 2 tahun kami tak berjumpa sejak masing-masing mulai meninggalkan bangku persekolahan.
amat menyedihkan lagi, bila aku melihat gambar keadaan motorsikal yang ditunggangnya pada hari kejadian cukup membuatkan hati bertambah sayu dan aku amat terkejut bila dikhabarkan dengan panggilan telefon ketika aku sedang melelapkan mata yang mengatakan bahawa dia telah meninggalkan kami buat selama-lamanya
dan ketika itulah segala kenangan bersama dia mulai bertempiaran di dalam kotak fikiran aku dan sehingga sekarang setiap kali aku memandang bungkusan nasi lemak pasti aku akan teringat setiap kenangan yang aku lalui bersama dia, setiap kali kepulangan aku dari bandar Temerloh atau untuk kemana-mana, aku pasti akan melalui kawasan rumahnya dan aku dapat melihat betapa suramnya keadaan rumahnya selepas ketiadaan dia ....sehingga ke waktu nukilan ini dicoretkan, aku masih tidak berkesempatan untuk melawat keluarga dan tempat istirehat dia buat selamanya
bagi aku, dia adalah seorang yang kuat mencari rezeki dan aku akan menggunakan semangat yang ada pada diri dia selama ini untuk dijadikan inspirasi aku untuk berjaya dan aku akan tujukan setiap dari usaha aku adalah berinspirasikan kehidupan dia
Lan, sungguh aku amat merindui setiap detik silam bersama kau....setiap kali aku teringatkan kau, pasti aku doakan kau semoga sentiasa tenang di sana...insyaALLAH, satu hari nanti kita akan berjumpa jua...semoga roh dicucuri rahmat oleh-NYA...AMIN
P.S : hari ini genap usia setahun anak saudara perempuan, Iman Az-Zahra binti Mohd Tarmizi yang lahir pada tarikh 01/11/11 bersamaan pukul 4:44 petang, dan pada malam tersebut juga berlakunya tragedi kemalangan 'patah tangan' sahabat baik aku sendiri sehingga terpaksa dibedah untuk dimasukkan besi oleh dan aku pasti dia tak akan lupa kejadian ini dan aku sendiri takkan melupakan tarikh sampai bila-bila kerana pada tarikh itu dua kali aku ke hospital...oh, sungguh aku tak sangka sungguh pantas waktu berjalan dan aku sentiasa mengejar waktu untuk melakukan sesuatu dan pada saat ini aku sentiasa merindui sesuatu yang aku merasakan telah lama hilang dalam hidup aku...semoga aku berjaya menghadapinya..AMIN
No comments:
Post a Comment